KUALA LUMPUR: Kerajaan sepatutnya memberi tumpuan kepada usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada industri francais negara untuk terus berkembang, berbanding menggunakan masa untuk membincangkan kedudukan Perbadanan Nasional Bhd (Pernas).

Dalam masa yang sama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick menyatakan keterbukaannya untuk membincangkan hasrat Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub untuk mengembalikan Pernas di bawah seliaan kementeriannya.

"Sepatutnya masa digunakan untuk membantu usahawan-usahawan francais untuk membantu membangunkan infrastruktur ekosistem pembangunan francais yang dipegang oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

"Manakala Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi pula bertanggungjawab kepada pembangunan kapasiti dan pembiayaan usahawan francais. Saya fikir sempadan itu sudah jelas.

"Pada saya fokus sebenar adalah untuk kita berikan perkhidmatan berbanding masih mahu bincang mahu letakkan Pernas di kementerian mana satu sedangkan Kabinet sudah buat keputusan. Perdana Menteri telah putuskan perkara itu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah The Jardin Sentul milik Koperasi Perumahan Sentul Pasar Kuala Lumpur Berhad (KPSPB), hari ini.

Menurut Ewon lagi, perihal kedudukan Pernas ini telah dibincangkan antara dirinya, Menteri KPDN dan Perdana Menteri pada 22 Disember tahun lalu.

Susulan perbincangan tersebut, Perdana Menteri telah mengekalkan Pernas di bawah seliaan KUSKOP dan penguatkuasaan Akta Francais kepada KPDN.

"Saya menghormati keputusan yang telah dicapai melalui perbincangan bersama-sama dengan Menteri KPDN yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri pada 22 Disember tahun lepas.

"Perdana Menteri telah menyatakan status quo supaya Pernas terus kekal berada di KUSKOP, manakala KPDN pula terus memegang portfolio sebagai kementerian yang bertanggungjawab kepada Akta Francais.

"Saya ingin menjelaskan bahawa keputusan meletakkan Pernas sebagai agensi di bawah KUSKOP telah diwartakan dan diputuskan dalam Kabinet pada awal tahun ini. Saya percaya keputusan itu harus kekal," katanya lagi.

Pada 7 Julai, Salahuddin berkata KPDN sedang berusaha mengembalikan Pernas di bawah seliaan kementerian itu bagi mengurangkan kecelaruan dalam penyelarasan industri francais. 

Menurut Salahuddin, buat masa ini akta berkaitan francais termasuk pendaftaran berada di bawah seliaan KPDN manakala latihan dan bimbingan berkaitan pembangunan francais di bawah kuasa KUSKOP.