GUA MUSANG: Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) mengesan wujudnya sindiket baharu untuk meneroka hutan simpan di negeri itu sebelum dijual kepada orang ramai tanpa dokumen sah.

Pengarah JPNK Abdul Khalim Abu Samah berkata modus operandi yang dilakukan sindiket ini adalah menjualnya dengan harga bergantung kepada saiz keluasan dan tanaman yang ditanam di kawasan hutan simpan yang diterokai itu.

"Sindiket ini meneroka hutan simpan dan menyiapkan plot-plot yang berkeluasan satu sehingga enam hektar sebelum dijual kepada orang luar.

"Akhirnya pembeli plot-plot ini akan menjadi mangsa keadaan apabila pihaknya menjalankan operasi pemusnahan kawasan hutan simpan yang diterokai secara haram," katanya kepada pemberita selepas Operasi Bersepadu Berkaitan Isu Pencerobohan Hutan Simpan Relai, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Khalim berkata pihaknya akan bekerjasama dengan agensi terlibat bagi menyiasat kaedah yang digunakan oleh sindiket tersebut dalam urusan jual beli kawasan yang diceroboh.

"Orang luar (pembeli) tidak tahu kawasan (tanah) yang mereka beli itu bukan hak milik yang sah peneroka.

"Di hutan simpan Relai sahaja, kami mendapati peneroka haram telah meneroka kawasan ini kira-kira 15 hingga 20 hektar dengan tanaman kelapa sawit," katanya.

Abdul Khalim berkata pihaknya akan sentiasa melakukan operasi selain menggunakan dron bagi memantau sempadan hutan simpan di Kelantan yang berkeluasan lebih 8,000 kilometer untuk mengesan kegiatan pencerobohan secara haram.

"Kami akan sentiasa menjalankan operasi bagi membanteras aktiviti penerokaan haram di negeri ini dalam usaha memelihara khazanah hutan simpan," katanya.

-- BERNAMA