PETALING JAYA: Datuk kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin, percaya kematian cucunya tiada kaitan dengan unsur dendam.

Menurut Zahari Mohd Rebah, 55, keluarga Zayyn Rayyan tidak mempunyai sebarang masalah dengan jiran-jiran sepanjang hampir tiga tahun tinggal di Apartment Damai, di sini.

“Untuk pengetahuan semua, anak saya (bapa Zayyn Rayyan) baru saja duduk sini lebih kurang tiga tahun. Rutin harian dia, pergi kerja dan balik kerja… hanya jiran saja yang kenal dia.

“… yang lain saya tak tahu, apa kaitan dengan dendam dan sebagainya,” katanya ketika ditemui media di Apartment Damai di sini pada Ahad.

Bercerita lanjut, pengurus produksi itu berkata, Zayn Rayyan, 6, tidak pernah dibiarkan bersendirian sebaliknya sentiasa ditemani oleh ibunya, Ismanira Abdul Manaf.

Dia menambah, antara lokasi kegemaran cucu sulungnya itu ialah di taman permainan bersebelahan blok kediaman keluarganya.

Begitupun, Zahari berkata Zayn Rayyan akan bertindak balas jika ada mana-mana individu menganggunya.

“(Kalau ada) orang sakiti dia (Zayn Rayyan), dia lagi agresif. Saya pun pernah kena gigit, (sedangkan) tujuan dia kita nak bergurau.

“Mungkin ada situasi masa berlaku itu (jenayah), dia ada bertindak balas,” katanya.

Dalam masa yang sama, Zahari yang kali terakhir berjumpa dengan Zayn Rayyan pada 2 Disember lalu menafikan dakwaan cucunya itu didera.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dan memberikan keyakinan penuh kepada polis untuk menyelesaikan kes tersebut.

Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, memaklumkan seramai 20 individu, termasuk ibu bapa Zayn Rayyan telah memberi keterangan bagi membantu siasatan kes pembunuhan itu.

Setakat ini, pasukan penyiasat giat mengumpul lebih banyak maklumat yang boleh menjejak suspek termasuk menghantar beberapa barang kes kepada Jabatan Kimia bagi analisis forensik.

Mayat Zayn Rayyan ditemukan di saliran air berdekatan takungan air yang terletak 200 meter dari rumahnya di Apartmen Idaman, Damansara Damai, kira-kira jam 10 malam Rabu lalu.