KUALA LUMPUR: Pendengaran keputusan rayuan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap sabitan dan hukuman penjara 12 tahun bagi kesalahan mengabai serta menganiaya seorang remaja perempuan berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) Sindrom Down dikenali sebagai Bella, ditangguhkan pada 2 Mei depan.

Perkara ini disahkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Kuala Lumpur, Azizah Jaafar pada Rabu.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 24 April untuk keputusan rayuan Siti Bainun terhadap sabitan bersalah, bagi dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella.

Hakim Datuk Noorin Badaruddin menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada peguam yang mewakili Siti Bainun, 32, selaku perayu dan pihak pendakwaan yang hadir sebagai responden.

Pada 3 Mei 2023, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memerintahkan Siti Bainun menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella, 13, di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.