KUALA LUMPUR:Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Semenanjung Malaysia kecuali Perlis, Kelantan dan Pahang dilakukan demi mengelak keadaan menjadi bertambah buruk, Dewan Rakyat diberitahu hari ini

Dalam jawapan bertulis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, kerajaan mengambil keputusan itu berikutan peningkatan kes COVID-19 di setiap negeri tersebut.

Selain itu, beliau berkata, terdapat keperluan untuk kerajaan menggunakan pendekatan yang lebih tegas dan berani.

“Keputusan kerajaan ini juga dibuat susulan daripada laporan kes pada 6 Nov 2020 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), di mana Malaysia mencatatkan jumlah tertinggi kes COVID-19 harian, iaitu 1,755 kes.

“Berdasarkan situasi ini, KKM segera melaksanakan penilaian risiko dan mendapati bahawa terdapat peningkatan ketara bilangan kes positif COVID-19 dan kadar kebolehjangkitan di negeri–negeri tersebut,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Wong Shu Qi (PH-Kluang) yang meminta Perdana Menteri menyatakan rasional pelaksanaan PKPB di tujuh buah negeri yang bermula pada 9 November 2020.

Mohd Redzuan selanjutnya berkata, kerajaan membuat keputusan untuk melaksanakan PKPB dalam tempoh 4 minggu (28 hari) dan PKP Diperketatkan (PKPD) bagi lokaliti yang dikenal pasti mempunyai kadar penularan yang tinggi dan bersasar bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

“Susulan daripada keputusan ini, prosedur operasi standard (SOP) yang diwujudkan bagi mengatasi penularan di kawasan PKPB akan diperketatkan terutamanya bagi aktiviti sosial dan termasuk juga di kawasan-kawasan terkawal seperti penjara, lokap atau Pusat Tahanan Sementara.

“Dengan pelaksanaan SOP untuk PKPB ini, orang ramai perlu mendapatkan kebenaran untuk melakukan rentas negeri,” katanya lagi.

Sekatan rentas negeri itu, jelasnya lagi, bagi semua tujuan selain kegiatan ekonomi dan bekerja dilaksanakan di seluruh negara dengan kawalan sekatan jalanraya di semua sempadan negeri bermula 12.01 tengah malam 9 November 2020.

Mohd Redzuan berkata, PKPB yang dilaksanakan itu merupakan satu langkah untuk meneruskan kuatkuasa Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] yang memayungi SOP yang dikeluarkan.

Dengan penerusan penggunaan Akta 342, jelasnya lagi, penguatkuasaan ke atas pematuhan SOP dapat dilaksanakan oleh agensi-agensi yang telah diberi kuasa di bawah Akta tersebut.

Ia bagi memastikan pematuhan ke atas SOP, selain mendidik masyarakat untuk membudayakan normal baharu kehidupan.