Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa kerajaan tetap bersungguh-sungguh dalam meneruskan usaha untuk mengubah nasib kaum India di negara ini.

Kerajaan juga akan melipatgandakan usahanya untuk membawa perubahan kepada bahagian yang lebih besar dalam masyarakat itu.

"Saya yakin bahawa kita akan dapat mencapai hasil yang luar biasa dan menerangi kehidupan mereka yang memerlukan dengan 'nambikei' (amanah) yang berterusan antara kerajaan dan masyarakat, " katanya dalam Salam Perdana Menteri untuk perayaan Ponggal 2015 yang dimuat naik dalam laman web beliau NajibRazak.com di sini hari ini.

Najib berkata, dengan hari baharu bermula esok, masyarakat India akan menyambut kedatangan bulan 'Thai' yang penuh bermakna dalam kalendar India yang dengan sambutan ini menandakan perayaan 'Ponggal' bagi meraikan hasil tuaian segar dan kurniaan daripada alam semula jadi.

"Pada masa inilah dalam tahun ini ungkapan 'Thai Pirandhal Vazhi Pirakkum' sering disebut berulang-ulang.

"Ia membawa makna bahawa permulaan bulan Thai yang membuka jalan bagi peluang-peluang baharu, perasaan paling berpengaruh dalam masyarakat India yang menandakan satu permulaan baharu dalam hidup mereka.

"Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan 'Ponggal Vaalthukal' saya dan selamat maju jaya kepada semua kaum India Malaysia agar anda menikmati segala kebahagiaan dan kemakmuran," katanya.