Pelan Anti-Rasuah Nasional atau National Anti-Corruption Plan (NACP) akan digubal bagi membolehkan isu-isu tadbir urus, integriti dan anti-rasuah ditangani secara menyeluruh.

Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata NACP akan menggantikan Pelan Integriti Nasional yang sememangnya tiba masa untuk disemak semula.

"Selain itu, satu dasar bersepadu akan dikeluarkan kepada semua Unit Integriti di setiap kementerian, jabatan dan agensi sebagai hala tuju negara yang diselaraskan GIACC," katanya.

Kerajaan juga akan merangka satu undang-undang yang boleh mengambil tindakan punitif terhadap pegawai yang sengaja menyebabkan ketirisan dana kerajaan.

"Semua Kementerian juga dikehendaki mengenal pasti sekurang-kurangnya tiga isu atau kelemahan berkaitan undang-undang, dasar atau peraturan sedia ada yang perlu dikaji semula bagi mengurangkan masalah rasuah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan (JKKMKPK).

Menurut Abu Kassim, Jawatankuasa Khas ini diaktifkan semula setelah lama tidak berfungsi dan dipinda nama kepada Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR).