KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengadakan sidang media pukul 4.30 petang ini di sebuah hotel di ibu negara.

Butiran berkenaan sidang media itu tidak didedahkan kepada media.

Namun, berdasarkan cakap-cakap politik, difahamkan pertemuan Ahli Parlimen Port Dickson itu dengan wartawan pada petang ini ada kaitan dengan laporan kerjasama antara PKR dan UMNO.

Bahkan, ada pihak menjangkakan Anwar akan berkongsi perkembangan terbaharu mengenai penjajaran baharu politik.

Tidak kurang, sumber Astro AWANI memaklumkan, beliau akan menyentuh mengenai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Sehubungan itu, Astro AWANI akan membawa perkembangan terkini secara langsung berhubung sidang media itu.

BACA: Anwar Ibrahim sahkan wujud rundingan PKR dengan UMNO

BACA: Jadi Perdana Menteri? Bukan gagal, cuma belum lagi... - Anwar Ibrahim

Susulan pendedahan terdapat perbincangan yang berlangsung antara pucuk pimpinan dua parti iaitu UMNO dan PKR berhubung kerjasama politik, tumpuan seluruh negara kini terarah pada Anwar.

Ketua Pembangkang itu dalam wawancara dengan akhbar Mingguan Malaysia pada Ahad lalu menjelaskan bahawa intipati perbincangan itu satu yang positif dan kerjasama tersebut tidak mustahil berlaku sekiranya ia berlandaskan kepada idealisme dan bukan semata-mata untuk menyelamatkan kedudukan ‘menteri’ UMNO.

Kenyataan itu menguatkan lagi khabar angin bahawa kedua-dua parti akan menjalinkan kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Tindakan itu dipercayai diambil UMNO selepas Majlis Kerja Tertingginya membuat keputusan tidak akan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam PRU-15.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika ditemui pada Isnin pula mendakwa tidak tahu-menahu wujudnya perbincangan antara parti itu bersama PKR bagi membentuk jalinan kerjasama baharu pada PRU-15.

Malah ujarnya, beliau tidak dimaklumkan mengenai sebarang pertemuan bagi membincangkan isu berkenaan.


** Tonton sidang media PKR dan analisis komprehensif berhubung perkara ini di saluran 501, Live TV & semua platform media sosial Astro AWANI petang ini.