TAPAH: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih menunggu hasil siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai kegiatan penjualan vaksin COVID-19 sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, beliau yakin polis akan menjalankan siasatan menyeluruh mengenai kes tersebut.

Menurutnya, vaksin COVID-19 yang diberi sekarang adalah percuma dan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan, termasuk yang diberikan melalui hospital dan klinik swasta.

"Ini tanggungjawab kerajaan untuk buat perkara ini. Jadi kalau di mana-mana pun kita ambil suntikan, yang di luar daripada kerajaan, contohnya swasta di klinik swasta, hospital swasta dan sebagainya, tidak boleh dikenakan bayaran.

"Ini adalah seruan dan juga amaran pada semua orang dan kes yang dikatakan tu, sudah pastinya dalam siasatan polis. Tapi apa yang saya nak nyatakan di sini - mengambil bayaran daripada suntikan ini adalah salah," tegas Dr Noor Azmi.

Beliau ditemui selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Merdeka, Tapah, Perak pada Jumaat.

Menurutnya, setakat ini kementerian belum mendengar kes-kes seumpama itu dan sedang menunggu siasatan polis untuk tindakan selanjutnya

Pada Rabu, polis menahan tiga warga tempatan di sekitar Putrajaya dan Brickfields, kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penjualan vaksin COVID-19 menerusi panggilan telefon secara rawak.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata, mereka yang terdiri daripada dua wanita dan seorang lelaki berumur antara 23 dan 50 tahun itu, ditahan hasil siasatan polis berikutan laporan polis oleh seorang Pegawai Penyelidik Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF), berhubung perkara itu.

Beliau berkata, kesemua mereka yang bekerja sebagai pegawai pemasaran di sebuah syarikat swasta, didapati menawarkan serta menjual vaksin COVID-19 dan akan membuat panggilan telefon kepada orang awam.

Mereka dikatakan mengenakan harga sebanyak RM420 bagi dua dos vaksin yang akan disuntik dan bayaran dibuat selepas pelanggan selesai menerima kedua-dua dos suntikan.