Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mengesan 63 individu yang belum melakukan ujian saringan kali kedua selepas pulang dari luar negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengesan mereka.

"Seramai 63 individu masih dikesan dan KKM sedang bekerjasama dengan PDRM untuk mengesan mereka dengan menggunakan kepakaran yang ada.

"Selain itu, kita juga meminta PDRM untuk melakukan pemantauan terhadap mereka yang sedang menjalani proses kuarantin di rumah, sama ada mereka patuh prosedur operasi standard (SOP) ataupun tidak," katanya dalam sidang media di sini pada Selasa.

Terdahulu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan, kerajaan memutuskan bahawa tiada lagi kuarantin di rumah bagi rakyat Malaysia dan warga asing yang tiba di negara ini mulai 24 Julai ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, mereka yang sedang menjalani proses kuarantin di rumah masih kekal dan ia hanya terpakai bermula Jumaat ini.

"Tindakan kerajaan melaksanakan kuarantin di rumah atau pusat khas bukan menjadi isu, sebaliknya, yang menjadi isu ialah ketidakpatuhan arahan kuarantin yang ditetapkan kerajaan.

"Proses kuarantin di rumah ini juga dilaksanakan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dan beberapa negara lain. Kita gunakan kaedah ini bagi kes individu dalam siasatan (PUI) dan mereka yang pulang dari luar negara," jelasnya.