LUMUT: Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir mengulangi ketegasan bahawa arahan yang dikeluarkan kepada Universiti Malaya (UM) berhubung tindakan menjemput penceramah warga asing yang mencetuskan kontroversi bukan untuk menyekat kebebasan universiti melaksanakan program-program intelektual.

Sebaliknya, tegas beliau, kebebasan yang diberi perlu mengambil kira polisi serta pendirian kerajaan di samping sensitiviti masyarakat dan majoriti rakyat Malaysia.

Beliau mengingatkan pihak universiti supaya lebih berhati-hati dalam menjemput penceramah, khususnya dari luar negara.

“Soal ini yang perlu kita lihat supaya setiap orang yang nak dibawa itu perlu diperhalusi.

“Ini bukan soal nak menyekat tetapi dalam tradisi kesarjanaan, tradisi intelektual, tradisi akademik, tentunya ada penilaian-penilaian yang perlu kita buat,” katanya kepada pemberita selepas melawat keluarga Pegawai Waran II TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi di Taman Bunga Tanjung, di sini, malam tadi.

Menurut Zambry, di dalam dunia akademik, lazimnya terdapat ‘peer review’ terhadap sesuatu artikel atau tulisan yang dikeluarkan.

“Kalau dia mengeluarkan sesuatu artikel, satu tulisan, dia akan ada teman dalam kalangannya yang akan membuat 'peer review', sama ada dia ni benar-benar seorang sarjana yang hebat ataupun sebaliknya,” ujarnya.

Terdahulu, dalam kenyataan yang dikeluarkan malam tadi, Zambry berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengambil maklum dan memandang serius isu yang berlaku berhubung tindakan seorang penceramah warga asing mengeluarkan kenyataan yang dilihat mencetuskan kontroversi dan tidak menghormati sentimen masyarakat, seperti yang tular di media sosial.

Menurutnya, beliau telah mengarahkan sebarang program dan aktiviti yang dijadual dihadiri penceramah itu dibatalkan segera.

Malah, tegasnya, beliau turut meminta Universiti Malaya (UM) untuk menyiasat perkara tersebut dan melaporkan segera butiran lanjut.

Terdahulu, Universiti Malaya mendapat kecaman kerana membenarkan seorang ahli akademik Amerika Syarikat menyebarkan propaganda Zionis dan menuduh ahli politik Malaysia yang menyokong perjuangan Palestin menyebarkan kebencian terhadap Yahudi.

Seorang Profesor Sains Politik, Bruce Gilley, dikatakan mendakwa menuduh ahli politik Malaysia menggesa 'Holocaust kedua' terhadap orang Yahudi dan juga menyerang bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.