KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menegaskan pemimpin parti itu, Datuk Ngeh Koo Ham terkhilaf mengenai punca kuasa penubuhan Jawatankuasa Khas Mengkaji Bidang Tugas Mahkamah Syariah.

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap cadangan Ahli Parlimen Beruas itu yang mencadangkan pelantikan pakar perundangan bukan Islam untuk menganggotai jawatankuasa yang ditubuhkan Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam (MKI) itu.

Menerusi satu kenyataan, Anthony Loke berkata, beliau sedar kenyataan itu akan menimbulkan polemik kononnya DAP cuba mencampuri urusan orang Islam.

Begitupun, beliau menafikan tuduhan sebegitu.


“Ini tidak benar sama sekali. DAP menghormati kebijaksanaan DYMM Tuanku Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam membuat sebarang keputusan mengenai urusan MKI.

“Masyarakat bukan Islam juga tidak perlu bimbang dalam perkara ini kerana  sekiranya sebarang pindaan undang-undang yang melibatkan hak bukan Islam, ia perlu diperhalusi dan diputuskan oleh Jemaah Menteri.

“Seterusnya, proses seperti biasa perlu dilaksanakan di Parlimen.

“DAP komited terhadap prinsip hormat-menghormati antara satu sama lain dan keharmonian antara agama dan kaum merupakan tanggungjawab kita bersama,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Koo Ham sebelum ini dilaporkan berkata, beliau menyarankan kerajaan melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu jawatankuasa tersebut yang ditubuhkan awal bulan ini.

Menurutnya, langkah itu bagi mengambil kira pandangan orang bukan Islam sebelum sebarang perubahan pada undang-undang dibuat.

Beliau juga berkata Perlembagaan dibentuk dengan mengambil kira kepentingan semua golongan dan sebarang perubahan yang memberi kesan kepada kaum dan agama mesti dibincangkan secara menyeluruh.