NEW YORK: Kuala Lumpur dicadangkan menjadi lokasi ibu pejabat Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) di peringkat ASEAN.

Cadangan tersebut diketengahkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres secara tidak rasmi selepas pertemuan diadakan antara kedua-dua pemimpin ketika berlangsungnya Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77 di New York. 

Jelas beliau dalam satu sidang media, memandangkan UN-Habitat tertumpu kepada proses pembandaran, sebuah pejabat perlu ditubuhkan di peringkat ASEAN ketika rantau Asia Tenggara menyaksikan pembangunan pesat.

“Pembukaan bandar berlaku dengan terlalu cepat di seluruh negara-negara ASEAN. Pembangunan bandar ini juga perupakan punca kepada masalah alam sekitar,” jelasnya.

Selain itu, kata Perdana Menteri, Malaysia juga wajar dipertimbangkan sebagai lokasi pejabat UN-Habitat ketika ia diketuai oleh Pengarah Eksekutif Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif yang mencipta sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama mengetuai pertubuhan tersebut.

Malah, Ismail Sabri turut mencadangkan supaya tempoh jawatannya dilanjutkan lagi sehingga penggal ketiga.

Terdahulu, Perdana Menteri mengadakan pertemuan bersama Guterres sehari selepas beliau menyampaikan kenyataan negara di pentas UNGA.

Pada pertemuan itu, beliau mengulangi desakannya supaya reformasi diwujudkan dalam PBB, terutamanya dengan mengehadkan kuasa veto, yang turut dipersetujui oleh Guterres.