Laporan awal mengenai kemalangan ekspres di KM137.3 Lebuh Raya Utara-Selatan arah ke utara berhampiran R&R Pagoh tiga hari lalu, akan dikeluarkan dalam tempoh dua minggu.

Menurut Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Prof Dr Wong Shaw Voon, pihaknya sedang menjalankan siasatan menyeluruh bagi mencari punca nahas ngeri yang meragut 14 nyawa termasuk pemandu itu.

Institut itu sedang menganalisis kesemua maklumat daripada pelbagai agensi dan sekali gus dapat mengenal pasti aspek penambahbaikan agar tragedi seperti itu tidak berulang.

Miros juga berharap semua pihak termasuk pengusaha bas dan penumpang perlu memainkan peranan masing-masing.

BACA: [INFOGRAFIK] Imbasan kes-kes kemalangan melibatkan bas

Pada masa sama, pengusaha bas disaran menitikberatkan aspek keupayaan pemandu yang perlu mendapat rehat secukupnya selain sihat untuk menjalankan tugas demi keselamatan semua terutamanya penumpang.

Sabtu lalu, kemalangan sekitar pukul 3.30 pagi itu menyaksikan 14 penumpang termasuk pemandu dan anaknya maut selepas bas terbabit terjunam ke dalam cerun sedalam 10 meter.

Kejadian itu turut menyebabkan 16 penumpang yang lain cedera.