Seorang lelaki ditahan selepas didakwa memaksa dua kanak-kanak lelaki berusia 9 dan 10 tahun meniru aksi di dalam video lucah yang ditunjuknya di sebuah rumah di Sungai Buloh, di sini, pada Jumaat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Gan Tian Kee berkata, suspek berusia 29 tahun itu merupakan sepupu kepada ibu kanak-kanak terlibat.

Katanya, ibu mangsa membuat laporan polis mendakwa semasa dia dan suami keluar kerja, sepupunya mengunjungi rumah mereka.

Suspek itu kemudiannya menunjukkan video lucah kepada kanak-kanak itu melalui telefon bimbitnya dan menyuruh mereka meniru aksi yang dilakukan.

“Lalu dua mangsa yang berusia 9 dan 10 tahun itu dipaksa melakukan aksi itu di dalam sebuah bilik.

"Selepas kejadian, mangsa telah diberi RM4 supaya tidak mendedahkan perkara berkenaan kepada ibu bapanya,” kata Gan ketika dihubungi pada Sabtu.

Menurutnya, susulan daripada laporan polis berkenaan, pihaknya telah menahan lelaki tersebut.

“Suspek yang bekerja sebagai anggota Jabatan Pertahanan Awam (Pekerja Kontrak) Sungai Siput Utara itu kini ditahan reman selama empat hari dan kes akan disiasat dibawah Seksyen 14(b) dan 15 Akta Kesalahan Seksual Kanak-kanak 2017.

“Mangsa pula telah dihantar ke hospital untuk pemeriksaan doktor,” ujarnya.