KOTA BHARU: Seorang pengawal keselamatan direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kematian pemuda kurang siuman akibat dipukul di sebuah masjid, di sini, malam tadi.

Perintah tahanan reman bermula hari ini hingga Ahad terhadap suspek berusia 32 tahun itu dikeluarkan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar bagi membolehkan siasatan di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan dijalankan.

Terdahulu dalam kejadian jam 7 malam pada Ahad, seorang lelaki yang dikatakan mempunyai masalah mental meninggal dunia dipercayai dipukul di Masjid Tok Guru Pulau Melaka, di sini.

Mangsa sebelum itu dikatakan mengamuk sekitar Surau Pasar Kota Jembal yang terletak berhampiran ketika waktu solat zuhur sebelum mangsa pergi ke masjid berkenaan.

Pemuda berusia 20-an itu dikatakan menunaikan solat asar bersendirian sebelum keluar dan secara tiba-tiba menendang serta menyepak wanita yang juga tukang masak sebuah sekolah tahfiz berdekatan ketika melalui pekarangan masjid tersebut.

Melihat kejadian berkenaan, sekumpulan lelaki cuba membantu wanita itu sehingga berlaku pergelutan menyebabkan mangsa dipukul sebelum didapati tidak sedarkan diri dan kemudiannya meninggal dunia.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab 2 (HRPZ2) untuk bedah siasat.