IPOH: Seorang penganggur dikenakan hukuman denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh, pada Isnin selepas mengaku bersalah atas tuduhan memberi rasuah kepada anggota polis, Selasa lalu.

N Suresh Rao membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memberi suapan wang tunai berjumlah RM200 kepada seorang koperal polis di hadapan kedai di Jalan Persiaran Batu Gajah Perdana, Batu Gajah, kira-kira jam 6 petang, 7 Mac 2023.

Ia sebagai dorongan untuk anggota polis berkenaan tidak melakukan tangkapan ke atas tertuduh kerana mempunyai rekod pesalah yang dikehendaki oleh pihak polis bersangkut 'Kepong Report 00010118/14'.

Dia didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan, yang boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 10 tahun dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh berhadapan hukuman penjara sebulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Mahkamah turut memerintahkan wang rasuah RM200 dilucut hak kepada kerajaan Malaysia di bawah Seksyen 40(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor manakala tertuduh tidak diwakili peguam.