SUNGAI PETANI: Seorang lelaki warga Myanmar maut dalam pergaduhan dipercayai membabitkan beberapa rakan senegaranya di kawasan asrama sebuah kilang dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Wan Azharuddin Wan Ismail berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada 11.53 malam.

"Siasatan awal menemukan seorang lelaki warga Myanmar berusia 23 tahun dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah dipercayai ditikam dan dipukul pada bahagian kepala.

"Motif pergaduhan dipercayai akibat mabuk kerana mereka minum bersama sebelum berlaku perselisihan faham dan pergaduhan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dalam kejadian itu, seorang lagi lelaki warga Myanmar berusia 29 tahun cedera pada bahagian pinggang dan kepala.

"Mangsa yang cedera dipercayai baharu setahun bekerja di kilang itu dan kini dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim, di sini dan berada dalam keadaan stabil," katanya.

Beliau berkata susulan itu, polis menahan enam lelaki warga Myanmar berusia antara 20-an hingga 40-an yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu dan kesemuanya direman seminggu untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Menurut Wan Azharuddin polis juga sedang mengesan empat lagi suspek yang masih bebas dan menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi balai polis berhampiran.

-- BERNAMA