KUALA LUMPUR:Peningkatan kes harian COVID-19 sehingga melebihi 5,000 untuk tiga hari berturut-turut adalah disebabkan oleh pelaporan lewat kes-kes kepada Kementerian Kesihatan (KKM), termasuk yang telah dikesan positif pada 2020.

Menurut KKM dalam satu kenyataan pada Ahad, ia juga disebabkan kelewatan pelaporan menggunakan Sistem Makmal Kesihatan Awam (SIMKA) oleh klinik-klinik dan hospital-hospital swasta.

“KKM ingin mengesahkan bahawa, situasi ini disebabkan oleh pelaporan lewat kes-kes ke CPRC Kebangsaan KKM termasuk kes-kes yang dikesan positif pada tahun 2020.

“Peningkatan kes yang mendadak ini adalah disebabkan oleh saringan bersasar di tempat kerja, saringan kontak rapat, dan saringan kumpulan berisiko tinggi yang dijalankan secara besar-besaran di beberapa buah negeri,” jelas kenyataan tersebut.

BACA: COVID-19: Tiga hari berturut-turut melebihi 5,000 kes

Bagaimanapun, KKM memaklumkan kes-kes yang lewat dilaporkan ini telah diambil tindakan sewajarnya di lapangan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berkenaan seperti pengasingan dan rawatan ke atas kes-kes positif, pengesanan kontak rapat serta pengesanan kes secara aktif.

“KKM akan bekerjasama dengan semua pihak berkaitan agar isu-isu kelewatan pelaporan kes-kes positif ini dapat ditangani dengan segera bagi membendung penularan COVID-19 di Malaysia,” kata kenyataan itu lagi.

Pada Ahad, Malaysia sekali mencatat jumlah kes positif COVID-19 untuk hari ketiga selepas merekodkan pertambahan kes harian sebanyak 5,298 kes.

Ia sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negara ini adalah sebanyak 214,959 dengan kes aktif sebanyak 48,150 kes.

BACA: Peningkatan kes COVID-19 di Selangor, mengapa dan apa langkah seterusnya?

BACA: COVID-19: Angka tinggi di Selangor kerana kes tertunggak - MB

Semalam, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dalam satu kenyataan memberitahu, peningkatan mendadak kes COVID-19 di Selangor berpunca daripada kes tertunggak kumulatif daripada saringan pekerja kilang, penjara, klinik dan hospital swasta yang tidak dilaporkan secara terus.

Menurutnya, kes kumulatif tersebut dikesan berlaku sejak 10 hari lepas.