KUALA LUMPUR: Malaysian Press Institute (MPI) menangguhkan Malam Wartawan Malaysia 2021 (MWM 2021) yang dijadualkan berlangsung pada 18 Jun, berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang diumumkan kerajaan.

Ketua Pegawai Eksekutif MPI Datuk Dr. Chamil Wariya bagaimanapun berkata, tarikh baru MWM 2021 yang akan diadakan pada 20 Ogos, adalah tertakluk kepada kebenaran kerajaan.

"Dengan berat hati saya ingin memaklumkan, MWM 2021 terpaksa ditangguhkan kerana saya menjangkakan PKP 3.0 yang akan berakhir pada 6 Jun ini, akan dilanjutkan berikutan kenaikan harian kes COVID-19.

"Ini juga bagi menjamin keselamatan kesihatan tetamu, selain akur kepada pengumuman kerajaan," katanya dalam kenyataan semalam.

Majlis Penyerahan Sumbangan MWM 2021 yang sepatutnya berlangsung pada 25 Mei ini juga ditangguhkan, yang dijangka akan diadakan pada 8 Julai nanti.

MWM 2021 bertujuan mengiktiraf karya kewartawanan terbaik pengamal media tempatan sepanjang tahun 2020, menerusi Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI PETRONAS 2020.

Tahun lalu, MPI selaku penganjur mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan, dengan seramai 300 orang tetamu sahaja dibenarkan hadir ke majlis MWM 2020.

-- BERNAMA