KUALA LUMPUR: Malaysia menyuarakan kekesalan dengan sikap dwistandard oleh sesetengah pihak dalam menangani nasib rakyat Palestin kerana sikap hipokrit dan dwistandard itu bukan sahaja menjejaskan prinsip asas undang-undang antarabangsa tetapi turut menyumbang kepada keganasan dan kekejaman.

"Sungguh tidak dapat difahami apabila sesetengah pihak terus bercakap mengenai hak asasi manusia, keadilan dan keamanan, namun menutup mata terhadap kekejaman yang berterusan ini," kata Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin ketika menyampaikan kenyataan negara pada Persidangan Peringkat Tinggi Isu Palestin di Tehran, menurut kenyataan Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra) pada Ahad.

Persidangan yang berlangsung dari 22 hingga 25 Dis itu bertujuan membincangkan cabaran dan strategi penyelesaian jangka masa panjang terhadap konflik berterusan di Gaza serta meneroka mekanisme berkesan bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

Anjuran Presiden Iran Seyed Ebrahim Raisi, persidangan itu dihadiri beberapa negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan negara bukan anggota OIC.

Mohamad berkata jenayah yang dilakukan rejim Israel sekarang adalah kemuncak kekejaman dan dasar aparteid paling dahsyat rejim itu terhadap rakyat Palestin.

"Kita menyaksikan setiap hari, apa yang mungkin dikaitkan sebagai jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.

"Oleh itu, kita mesti menghantar mesej solidariti yang kuat kepada mangsa kekejaman Israel bahawa kemanusiaan akan ditegakkan dan keadilan akan diperjuangkan," katanya.

Timbalan menteri itu juga berkata Malaysia menyambut baik penerimaan resolusi 'Memantau dan Meningkatkan Bantuan ke Gaza' oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 22 Dis.

"Resolusi itu dilihat sebagai harapan, menyatukan masyarakat antarabangsa untuk menamatkan pertumpahan darah yang tidak masuk akal dan menyokong kemanusiaan," katanya.

Bagaimanapun, Malaysia menegaskan masyarakat antarabangsa khususnya Majlis Keselamatan PBB tidak boleh mengecewakan rakyat Palestin sekali lagi.

"Malaysia kekal teguh mendukung objektif utama, termasuk gencatan senjata segera, meningkatkan bantuan kemanusiaan ke Gaza, menghentikan aktiviti penempatan Israel, menyiasat pelanggaran undang-undang antarabangsa, menyokong Penyelesaian Dua Negara dan memerangi Islamophobia," kata Mohamad.

Malaysia menegaskan keperluan menangani krisis kemanusiaan secara kolektif, menekankan bahawa serangan ke atas orang awam di Gaza merupakan jenayah perang dan Israel mesti bertanggungjawab atas tindakannya dan pendudukan di wilayah Palestin.

"Malaysia tetap teguh dengan keyakinan tidak berbelah bahagi bahawa keadilan mesti ditegakkan untuk rakyat Palestin," katanya.

Beliau juga berkata bagi memastikan hak pendidikan rakyat Palestin, sebanyak AS$3.87 juta telah diluluskan di bawah Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) bagi membiayai yuran pendidikan dan bantuan kewangan bulanan kepada pelajar Palestin di Malaysia untuk tempoh setahun.

Kerajaan Malaysia pula akan menanggung yuran universiti berjumlah AS$1.13 juta.

Kementerian Kesihatan Gaza pada Sabtu melaporkan bahawa angka korban akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Okt lepas, meningkat kepada 20,258 orang dengan 53,688 lagi cedera.

-- BERNAMA