KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Johor dan Melaka terus menurun manakala Pahang tidak berubah dengan 39,846 orang ditempatkan di 128 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat malam ini.

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 39,677 orang setakat 8 malam ini, berbanding 40,005 direkodkan pada 4 petang tadi susulan penutupan tiga PPS di Muar dan Batu Pahat.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menerusi kenyataan memaklumkan PPS yang ditutup adalah Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Alaudin di Muar manakala di Batu Pahat pula ialah Yong Peng High School dan Sekolah Agama Air Puteh, menjadikan 125 PPS masih beroperasi di empat daerah setakat ini.

Menurut JPBN, Batu Pahat kekal daerah paling teruk terjejas dengan jumlah mangsa 38,878 daripada 10,847 keluarga; diikuti Muar dengan 524 mangsa (163 keluarga); Segamat 212 orang (56 keluarga) dan Tangkak 63 mangsa (12 keluarga).

Dua sungai di Batu Pahat masih melepasi aras bahaya iaitu Empangan Bekok di Sungai Bekok yang kini pada paras 19.39 meter (m) dan Sungai Senggarang di Senggarang (3.62m) selain Sungai Muar di Bukit Kepong, Muar yang mencatatkan bacaan 3.37m.

Di MELAKA, jumlah mangsa banjir di Jasin terus berkurang kepada 24 mangsa daripada lima keluarga malam ini berbanding 55 mangsa daripada 13 keluarga pada 2 petang.

Sekretariat JPBN dalam satu kenyataan malam ini memaklumkan kesemua mangsa ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Penghulu.

Di PAHANG, aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan jumlah mangsa banjir malam ini kekal seperti petang tadi iaitu 145 orang daripada 51 keluarga di daerah Rompin.

Seramai 90 orang daripada 29 keluarga ditempatkan di PPS SK Leban Chondong manakala 55 orang daripada 22 keluarga di PPS SK Kampung Aur.

-- BERNAMA