KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Johor merekodkan sedikit penurunan dengan 1,428 orang yang masih berlindung di 12 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 4 petang ini, berbanding 1,485 orang di 13 PPS tengah hari tadi.

Menurut laporan yang terkini dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), 12 PPS yang masih beroperasi itu terdiri daripada enam PPS di Kota Tinggi yang menempatkan 727 mangsa, tiga PPS di Johor Bahru (359 mangsa), dua PPS di Mersing (265 mangsa) dan sebuah PPS di Kluang (77 mangsa).

Berhubung kejadian kebakaran di Sarawak, laporan itu memaklumkan sejumlah 38 mangsa berlindung di sebuah PPS yang dibuka di Kuching, petang ini.

Sementara itu, sebanyak tiga sungai direkodkan berada di paras bahaya iaitu Sungai Endau Kluang, dengan paras 14.85 meter (m), Sungai Kedah Kota Setar, Kedah (1.71m) dan Sungai Arau, Perlis (23.73m).

NADMA turut memaklumkan sebanyak 20 jalan ditutup susulan bencana dan kerosakan antaranya ialah Jalan Durian Mentangau di Dungun, Terengganu; Jalan Mersing-Endau di Mersing, Johor; Jalan Mawai Lama di Kota Tinggi, Johor serta Jalan Sungai Sam Ke Dabong di Jeli, Kelantan.

-- BERNAMA