KUALA LUMPUR:Mesyuarat Muafakat Nasional (MN) yang dijadual berlangsung hari ini dilihat medan terbaik mencari jalan penyelesaian bagi kemelut politik yang melanda negara ketika ini.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir berkata, hala tuju bentuk kerjasama antara UMNO, Bersatu dan Pas boleh ditentukan, selain perbincangan berkenaan aspek ekonomi dan kesihatan.

"Ini masa terbaik meredakan konflik dalam MN kerana situasi politik sekarang yang tidak menentu dan suhunya perlu diredakan.

"Mesyuarat ini bukan sahaja akan menentukan masa depan UMNO, Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) tetapi juga kedudukan Perdana Menteri dalam konteks perkembangan dan tuntutan Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI, hari ini.

BACA: Penuhi syarat UMNO: Muhyiddin dijangka berdepan dilema - Penganalisis


Dalam masa yang sama, ia juga masa terbaik untuk melihat semula pendirian dan syarat yang dikemukakan UMNO dalam perikatan tersebut.

"Mungkin adanya tuntutan dari UMNO untuk Perdana Menteri merombak Kabinet, serta jawatan perdana menteri dan menteri kanan yang lain diberikan kepada pemimpin UMNO .

"Jika tidak, ia boleh mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli UMNO dan boleh memberi kesan terhadap wibawa Presiden UMNO, Datu Seri Ahmad Zahid Hamidi.

"Jika ini berjaya dilakukan, ia akan membantu meletakkan UMNO di posisi yang dipandang tinggi dan boleh menyelamatkan kedudukan Perdana Menteri sendiri," ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan MN akan bermesyuarat hari ini (Isnin) namun lokasi dan masa ia akan berlangsung tidak dimaklumkan.