Mengeluarkan sebarang kenyataan yang tidak berlandaskan fakta, adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab serta tidak sensitif, kata bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Ahli Parlimen Sembrong itu, yang juga pemangku Menteri Pengangkutan ketika tragedi MH370 berlaku, berkata, ketika siasatan berjalan, adalah menjadi keutamaannya untuk memastikan ketelusan dan keabsahan dalam menyampaikan perkembangan kepada orang awam.

“Mendedahkan sesuatu yang tidak disahkan boleh mengganggu siasatan, dan menjadi tidak adil kepada ahli keluarga penumpang dan kru MH370, serta orang awam secara keseluruhan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai reaksi kepada kenyataan bekas Perdana Menteri Australia Tony Abbott dalam satu wawancara baru-baru ini, yang mendakwa beliau pernah diberitahu pegawai kerajaan Malaysia, insiden itu berlaku akibat cubaan juruterbang MH370, Zaharie Ahmad Shah untuk membunuh diri.

MENGENANG MH370

BACA: [Infografik] MH370: 5 tahun dalam kenangan

BACA: ICAO: Laporan MH370 hari ini bukan laporan muktamad

BACA: MH370: Kakak lega nama Kapten Zaharie dibersihkan

BACA: Laporan MH370 tidak beri jawapan diharapkan

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, pasukan siasatan ketika itu telah menerokai kesemua kemungkinan dan petunjuk yang ada, termasuk spekulasi, teori, dan maklumat yang relevan.

Katanya lagi, ketika siasatan berjalan, maklumat dan petunjuk timbul secara berterusan, namun amat penting untuk dirinya memastikan hanya maklumat dan bukti yang sah sahaja akan dikongsikan bersama orang awam.

“Malang sekali sehingga tempoh saya sebagai pemangku Menteri Pengangkutan menghampiri penghujungnya, pasukan siasatan tidak memberitahu saya jawapan yang tepat tentang punca sebenar kehilangan pesawat berkenaan.

“Justeru, saya sekali lagi ingin menyeru kepada sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat berkenaan insiden ini untuk tampil ke hadapan dan membantu pihak berkuasa untuk tindakan seterusnya,” katanya lagi.

Abbott, dalam satu temubual eksklusif dalam dokumentari Sky News, mendakwa beliau dimaklumkan pegawai berkenaan, Kerajaan Malaysia merasakan perkara itu dirancang juruterbang MH370 Kapten Zaharie Ahmad Shah, sehingga mengakibatkan kehilangan pesawat yang membawa 239 penumpang.

Penerbangan MH370 hilang dari radar pada 8 Mac 2014 ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.