TASEK GELUGOR: Kerajaan Pulau Pinang menyalurkan bantuan RM500,000 bagi menampung kos berkaitan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki Muhammad Hawari Hashim yang dilaporkan hilang di Gunung Everest sejak Jumaat lepas.

Ketua Menteri,Chow Kon Yeow berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) sebulat suara bersetuju menyalurkan sumbangan RM500,000 bagi meringankan beban kos SAR Muhammad Hawari.

“Mesyuarat Exco (MMK) telah memutuskan untuk menyalurkan peruntukan sebanyak RM500,000 atau RM0.5 juta yang akan disalurkan kepada kelab berwajib sebagai perbelanjaan pengurusan SAR ini,” kata Kon Yeow sewaktu  mengadakan lawatan khas terhadap keluarga Muhammad Hawari di kediamannya di Kampung Permatang Kerai Besar malam tadi.

Dalam masa sama Kon Yeow berkata, pentadbirannya akan terus mengikuti perkembangan SAR Muhammad Hawari yang juga kakitangan Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang (LMNPP) secara dekat dan dari semasa ke semasa.

Beliau yang diiringi Pengarah LMNPP, Haryany Mohamad turut menjelaskan kepada keluarga Muhammad Hawari mengenai inti sesi telesidang pada Selasa bersama-sama Ketua Misi Ekspedisi Malaysia ke Gunung Everest, Azim Afif Ishak mengenai operasi SAR Muhammad Hawari yang ditetapkan sehingga 28 Mei 2023.

“Kita serahkan kepada pasukan SAR untuk melakukan SAR di sana, Haryany akan menjadi wakil penghubung dengan pihak SAR dan kelab (berwajib) di sana,” katanya lagi.

Sementara itu, Kon Yeow turut menyampaikan sumbangan khas daripada beliau sendiri kepada isteri Muhammad Hawari Hashim, iaitu Safiyyah Tang Xie Li.

Selain itu, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin yang juga ADUN Paya Terubong turut menyampaikan sejumlah sumbangan dana kepada Safiyyah.

Muhammad Hawari yang menyertai misi pendakian Gunung Everest, Himalaya dilaporkan hilang sejak Jumaat.

Beliau yang juga orang kelainan upaya (OKU) pendengaran dipercayai hilang selepas berjaya menawan puncak tertinggi dunia itu pada 18 Mei.

Mangsa merupakan kumpulan sama yang menyertai Malaysia Everest 2023 (ME 2023) bersama Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Lot Kol Awang Askandar Ampuan Yaacub yang dilaporkan meninggal dunia selepas terjatuh ketika misi menakluk Everest pada ketinggian 8000 meter.