PETALING JAYA: Tiada masalah untuk mana-mana parti atau gabungan untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang, selagi mana ia bertujuan untuk melawan UMNO dan Barisan Nasional (BN), kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah, kata Pengerusi PH yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, PH juga boleh mempertimbangkan kerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Namun katanya lagi, apa jua kerjasama yang ingin dimeterai dengan PH, haruslah berlandaskan prinsip tertentu, bukan semata-mata untuk menumbangkan UMNO dan BN.

“Kami (PH) komited dalam melaksanakan agenda reform, melawan gejala rasuah dan penyalahgunaan rasuah. Sesiapa saja yang bersetuju dengan prinsip ini, boleh datang dan berbincang kami. Ruang adalah terbuka,” katanya pada sidang media sempena Pelancaran Aplikasi ADIL di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas tentang kemungkinan kerjasama dengan pihak tertentu, termasuk Dr Mahathir dan Muhyiddin, biarpun hubungan mereka sedikit retak selepas peristiwa 'Langkah Sheraton' pada 2020.

Dr Mahathir, yang sebelum ini merupakan Perdana Menteri di bawah PH, baru-baru ini dilaporkan berkata, beliau tiada masalah untuk bekerjasama dengan Anwar.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, pandangan beberapa pihak untuk mereka bersama-sama bagi melawan musuh yang satu, memang kedengaran lunak.

Come together itu lunak bunyinya, tetapi bersatu untuk apa? Ada yang nak bersatu untuk rompak, seperti persatuan 40 penyamun dan sebagainya. Bersatu itu harus bersandarkan prinsip jelas.

“Pertamanya tatakelola yang baik, keduanya menolak rasuah, dan ketiga, tidak setuju dengan kaedah atau dasar perkauman atau kefahaman agama cara fanatik, yang menindakkan kehadiran yang lain. Kalau setuju silakan. Ini bukan monopoli mana-mana parti,” katanya lagi.

Dalam pada itu Anwar berkata, setakat ini PH bersetuju mengadakan pakatan pilihan raya dengan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM), tertakluk kepada syarat-syarat tertentu yang harus disepakati bersama.