MELAKA: Polis Melaka mengeluarkan 7,956 saman terhadap pemandu yang dikesan melakukan kesalahan dalam tempoh 10 hari pelaksanaan Op Selamat 18 sempena Aidilfitri, yang dilancarkan pada 29 April lepas.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri Supt Amran@Mohamad Zaki Omar berkata jumlah itu meningkat berbanding 6,022 saman dikeluarkan dalam tempoh yang sama pada Op Selamat 15.

"Dalam tempoh itu juga 676 kes kemalangan direkodkan termasuk empat kes melibatkan kemalangan maut iaitu dua di daerah Melaka Tengah dan masing-masing satu di Jasin dan Alor Gajah.

"Jumlah itu meningkat 73 kes atau 20 peratus berbanding 603 kes kemalangan dalam tempoh sama dengan lima maut dicatatkan sepanjang Op Selamat 15 yang lepas," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.

Katanya jumlah mangsa cedera parah pula dilaporkan seramai 32 orang hingga Ahad, berbanding tiga orang pada Op Selamat 15.

-- BERNAMA