KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) kesal kerana Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) berkaitan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) tidak dinyahklasifikasi sepenuhnya seperti disyorkan PAC sebelum ini.

Pengerusi PAC Wong Kah Woh berkata pihaknya telah mengesyorkan agar laporan yang diletakkan sebagai 'Rahsia Besar' itu dinyahfklasifikasi pada 23 Nov tahun lepas.

"Sikap mereka (yang tidak menyahklasifikasi sepenuhnya laporan) telah ditegur oleh PAC semasa Prosiding Tindakan Susulan Kementerian pada 23 Mac lepas," katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen, di sini hari ini.

BACA: Penyumberluaran projek AES kepada swasta tidak wajar - PAC

BACA: Kementerian Pertahanan lapor SPRM berhubung projek AES

Wong berkata pihaknya hanya menerima laporan itu kembali pada 8 Julai dengan beberapa maklumat dan nama dalam laporan itu telah dihitamkan.

"Tindakan menghitamkan sebahagian laporan berkenaan yang tidak ada kena-mengena dengan aspek keselamatan negara atau dasar yang sensitif jelas sikap kebudak-budakan dan merendahkan martabat Parlimen," katanya.

Pada 23 Nov 2021, PAC mendapati penyumberluaran projek AES kepada syarikat-syarikat swasta bagi penguatkuasaan trafik adalah tidak wajar kerana pelaksanaan sistem terbabit seharusnya dilaksanakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Justeru, PAC mengesyorkan kepada kerajaan supaya mendedahkan kepada umum dengan menyahklasifikasikan Laporan Siasatan JKSTUPKK berkenaan.

-- BERNAMA