Pendahulu Liga Super, Pahang yang kalah 2-3 kepada Selangor pada Sabtu lepas, bangkit mencatatkan kemenangan selesa 3-0 ke atas pasukan jiran mereka, Terengganu di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam ini.

Tiga gol skuad Tok Gajah dijaringkan oleh Mohd Hafiz Kamal pada minit ke-75 dan 89 serta Mohd Fauzi Roslan pada minit ke-77.

Keputusan itu menyaksikan pasukan bimbingan Dollah Salleh kekal menerajui takhta liga dengan mengumpul 12 mata daripada lima perlawanan.

Pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pula merampas tangga kedua daripada wakil kelab dari Singapura, Lions XII selepas mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Felda United di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Seremban.

Penyerang import skuad 'The Gladiators' iaitu Marlon Alex James membuka tirai jaringan pada minit ke-14 sebelum Mohd Shukor Adan memastikan kemenangan untuk pasukan bimbingan B. Sathianathan pada minit ke-55.

Pasukan berstatus bintang dari Johor iaitu Kelab Bola Sepak Darul Takzim naik dua anak tangga ke kedudukan kelima liga selepas membelasah Selangor PKNS, 3-1 di Stadium Shah Alam.

Mohd Safee Sali membuka tirai jaringan untuk skuad Harimau Selatan pada minit ke-19 sebelum Ahmed Ezrie Shafizie Sazali menggandakan kedudukan pada minit ke-61.

Penyerang import dari Sepanyol, Danial Guiza menjaringkan gol ketiga untuk skuad bimbingan Fandi Ahmad itu pada minit ke-88 sebelum Mohd Faiz Mohd Isa mengurangkan defisit jaringan untuk PKNS dengan gol saguhati pada minit ke-90.

Wakil kelab dari Terengganu, T-Team turut mengutip tiga mata penuh selepas menewaskan Lions XII, 1-0 hasil sepakan penalti pemain tengah, Mohd Badrul Hisham Morris pada minit ke-75 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Pasukan tuan rumah dihadiahkan sepakan berkenaan oleh pengadil perlawanan, Syed Azhar Syed Kamar selepas pemain pertahanan Lions XII, Faritz Abdul Hameed menampan bola di dalam kotak penalti.

Sementara itu, dua pasukan iaitu Perak dan Kelantan hanya mampu mengutip satu mata selepas mereka mencatatkan keputusan seri di laman sendiri.

Perak diikat oleh Selangor dengan keputusan 1-1 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut.

Francis Forkey Doe membuka tirai jaringan untuk pasukan Selangor pada minit ke-65 sebelum penyerang skuad Seladang, Abdul Hadi Yahya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-80.

Terdahulu, Selangor terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-40 selepas Mohd Amri Yahyah dilayangkan kad merah kerana mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pengadil perlawanan, Zulkifli Ahmad.

Mohd Amri sebelum itu menerima kad kuning daripada Zulkifli kerana melakukan kekasaran ke atas pemain lawan.

Kelantan pula terikat tanpa jaringan ketika melayan kunjungan Negeri Sembilan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu.