Pas tetap teguh untuk membawa usul undi percaya dalam Dewan Rakyat bagi menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sehingga habis penggal.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, usul berkenaan merupakan satu proses demokrasi yang membuka ruang kepada semua Ahli Parlimen dari pelbagai parti untuk bersuara.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, usaha itu juga sekali gus akan melenyapkan tanda tanya siapa yang bakal mengambil alih jawatan Perdana Menteri.

“Ini salah satu proses demokrasi walaupun kita tahu ada orang yang penakut… dengan usul ini kita (Pas) tak takut orang tak sokong pun tak apa, kita biasa dengan kalah kita mahu selamatkan negara.

“Bukan sahaja orang Melayu Islam malah kaum lain juga… adalah lebih baik bagi undi percaya kepada Perdana Menteri yang sudah ada pengalaman memerintah paling lama,” kata Abdul Hadi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah Duha di Masjid Rusila, di sini pada Jumaat.


BACA: Pas tak ikut 'pintu belakang' - Abdul Hadi


BACA: Sokong saya jika mahu bekerjasama - Tun Dr Mahathir


Sebelum ini, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, pembentangan usul undi percaya itu diputuskan sebulat suara oleh Majlis Kepimpinan Pusat Pas.

Dalam masa sama, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan turut menyatakan parti itu akan menyokong undi percaya terhadap Dr Mahathir apabila dibentangkan oleh Pas di Dewan Rakyat.

Sementara itu, di Langkawi hari ini, Dr Mahathir berkata, beliau tidak tahu-menahu mengenai gerakan yang dibuat pihak tertentu dengan mendapatkan tanda tangan akuan berkanun (SD) Ahli-Ahli Parlimen untuk menyokong beliau menerajui negara sehingga habis penggal.

Dalam masa sama, Perdana Menteri kehairanan dengan laporan yang mendakwa 138 Ahli Parlimen telah menandatangani SD itu.

"Hari ini PH (Pakatan Harapan) mempunyai majoriti. Macam mana boleh dapat angka 138, itu orang lain punya kerja. Saya tidak tahu mereka boleh buat macam itu... maknanya PH mesti sokonglah dapat angka macam itu,” kata Dr Mahathir.

BACA: "Saya tidak tahu bagaimana boleh dapat 138 tanda tangan" - Tun M ulas akuan bersumpah Ahli Parlimen

B
ACA: Tun M ulangi janji letak jawatan lepas APEC