KUALA LUMPUR: Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) membuat keputusan untuk tidak akan mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadualkan 20 November akan datang.

Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Pejuang terpaksa mengambil pendirian itu kerana mendakwa PRN diadakan disebabkan oleh permainan politik pihak tertentu yang didakwa beliau mahukan kedudukan dan berkepentingan politik semata-mata.

Selain itu jelasnya adalah sesuatu yang tidak wajar untuk mengadakan PRN ketika negara masih lagi berdepan dengan ancaman pandemik COVID-19.

"Politik sepatutnya untuk memajukan negara dan memberikan kehidupan selesa kepada rakyat. Mereka ini masuk politik hanya untuk merebut jawatan.

"Mereka tarik balik sokongan dan jatuhkan kerajaan dengan harapan mereka akan jadi kerajaan," jelasnya pada sidang media di Yayasan Al-Bukhari di sini petang tadi.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Pertembungan tiga penjuru di PRN Melaka: Siapa yang untung?

[TERKINI] Sidang Media Parti Pejuang Tanah air

Malah jelas Tun Mahathir lagi, sama ada pihak mana sekalipun yang akan menggantikan kerajaan sebelum ini di negeri itu, ia tidak akan sama sekali membawa apa-apa perubahan.

Oleh yang demikian katanya, Pejuang bukan sahaja tidak akan mengambil bahagian malah sama sekali tidak akn memberi sokongan kepada mana-mana pihak dalam pilihan raya tersebut.

DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu susulan tindakan empat Ahli DUN (ADUN) iaitu Datuk Seri Idris Haron (UMNO-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas) mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.