Masih terdapat minat yang tinggi daripada komuniti perniagaan antarabangsa terhadap Malaysia walaupun wujud suara-suara mengenai ekonomi negara ini, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Komuniti perniagaan mengiktiraf daya tahan ekonomi Malaysia dalam menghadapi ketidaktentuan dan mereka mempunyai keyakinan yang kukuh bahawa negara akan terus mencatat prestasi yang baik, katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di sini pada Sabtu.

Beliau berkata terdapat beberapa syarikat antarabangsa yang telah menyatakan minat untuk memainkan peranan lebih aktif dalam usaha membuka potensi Malaysia dalam bidang Internet of Things dan Ekonomi Digital.

Ekonomi digital merupakan antara bidang keutamaan yang dikenal pasti bagi pertumbuhan ekonomi akan datang, kata Mustapa, yang mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland dari 17-20 Jan.

Dalam bidang ini, Malaysia telah mencatat peningkatan dalam pelaburan baharu, daripada US$1.05 bilion pada 2015 kepada US$1.5 bilion (US$1=RM4.46) pada 2016.

Bidang yang disasarkan bagi pertumbuhan akan datang dalam ekonomi digital ialah teknologi kewangan, pertumbuhan syarikat baharu dan pembangunan perdagangan rentas sempadan pertama di dunia bagi perusahaan kecil dan sederhana, iaitu Zon Perdagangan Bebas Digital seperti yang diumumkan di bawah Bajet 2017.

Sementara itu, pada WEF, Mustapa turut mengambil peluang menghadiri mesyuarat dua hala dengan beberapa pemimpin kerajaan dan perniagaan dari syarikat seperti Microsoft, Hitachi, Qualcomm, Hanhwa, Nielsen dan PricewaterhouseCoopers.

"Sebahagian daripada syarikat ini sedang mengkaji kemungkinan untuk memperluaskan operasi mereka di Malaysia," katanya.

Beliau berkata Davos adalah platform penting bagi Malaysia untuk memperluaskan rangkaiannya dan mengadakan urus niaga perniagaan selain turut memberi peluang kepada Malaysia untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai trend baharu seperti Revolusi Industri Keempat dan automasi.

"Malaysia sebagai sebuah negara perlu menyelaraskan kedudukannya dengan realiti baharu ini dan terus mengikuti perkembangan terkini," katanya.

Mustapa turut menegaskan komitmen Malaysia terhadap dasar pro-pertumbuhan, walaupun persekitaran ekonomi mencabar.

"Kami banyak melabur dalam infrastruktur seperti yang dapat dilihat melalui projek-projek utama seperti Mass Rapid Transit dan Lebuhraya Pan Borneo dan akan terus melabur dalam infrastruktur utama seperti kereta api berkelajuan tinggi yang akan terus meningkatkan persekitaran perniagaan," katanya.

"Langkah ini juga akan meningkatkan hubungan di dalam dan di luar sempadan Malaysia, seterusnya meningkatkan daya saing kami di rantau ini," katanya.

Sementara itu, katanya Malaysia, dalam usaha menambah baik pendekatannya untuk menarik pelaburan, kini mengguna pakai strategi yang lebih menyeluruh melalui kerjasama rapat dengan syarikat perunding, bank, syarikat swasta dan diaspora.

"Di Zurich sahaja, terdapat kira-kira 30 rakyat Malaysia memegang jawatan kanan dalam pelbagai syarikat dan mereka perlu menjadi duta dalam mempromosikan jenama Malaysia," katanya. -- Bernama