KUALA LUMPUR: Pemandu-pemandu bas atau van sekolah digalakkan untuk turun dari kenderaan dan memantau pelajar sehingga mereka masuk ke dalam kawasan sekolah atau kediaman dengan selamat.

Ini kerana menurut Pengarah Eksekutif Safe Kids Malaysia, Prof Dr Kulanthayan Kc Mani, pemandu perlu tahu bahawa golongan kanak-kanak ini mempunyai had tertentu dalam menilai situasi dan masih memerlukan pemantauan orang dewasa.

“Pertama kepada semua pemandu-pemandu bas dan van sekolah, kalau boleh, sebaiknya buka tingkap kenderaan agar kita boleh dengar sumber bunyi daripada luar.

“Kedua, temani kanak-kanak ini supaya mereka selamat dan kanak-kanak ini perlu diajar jangan melintas di hadapan kenderaan kerana biasanya kenderaan akan bergerak ke depan jarang sekali bergerak ke belakang.

“Ketiga, kanak-kanak ini perlu diajar supaya jangan berada di kawasan terlindung kerana saiz kanak-kanak yang kecil dan mereka perlu tahu ada banyak titik buta (blindspot) pada kenderaan,” jelasnya.

Bagaimanapun kata Prof Kulanthayan, bagi kanak-kanak yang berusia 8 tahun ke bawah, mereka tidak mempunyai kemampuan untuk membuat keputusan yang tepat dan selamat walaupun telah diajar tentang risiko dan keselamatan.

“Atas dasar tersebut kita minta agar kanak-kanak ini sentiasa ditemani dan dipantau orang dewasa.

“Limitasi kanak-kanak yang berumur 8 tahun ini dari segi pandangan adalah satu per tiga daripada pandangan orang dewasa. Begitu juga dengan bunyi, mereka boleh dengar bunyi tapi mereka tidak dapat nak pastikan dari kanan atau kiri sehinggalah sumber bunyi tersebut sudah hampir rapat dengan mereka,

"Begitu juga dengan pemikiran mereka kalau melihat kenderaan, kanak-kanak ini berfikir bahawa semua kenderaan boleh berhenti serta-merta sedangkan kenderaan ada lajaknya ketika berhenti. Maka, atas sebab ini, keselamatan kanak-kanak perlu dipantau setiap masa,” katanya lagi.

Prof Kulanthayan mengulas kejadian kemalangan yang menimpa seorang murid perempuan tahun satu di Salak Tinggi dilanggar van sekolah ketika melintas di hadapan kenderaan itu pada Jumaat lepas, sekali gus mengundang semula persoalan keselamatan golongan berkenaan.

Ia turut merangkumi aspek risiko kemalangan kepada golongan kanak-kanak.