TELUK INTAN: Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya terbabas sebelum merempuh sebuah treler dalam hujan lebat di Kilometer 7, Jalan Maharajalela di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa yang berusia 37 tahun mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Sementara itu, pemandu treler tidak mengalami kecederaan.

Menurut Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Ahmad Adnan Basri, siasatan awal mendapati kereta berkenaan daripada arah Teluk Intan menghala ke Hutan Melintang. 

“Sampai di tempat kejadian, kereta yang dipandu mangsa tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan lalu melanggar treler.

“Dimaklumkan, semasa kejadian, cuaca hujan lebat dan permukaan jalan adalah licin,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Pihak polis meminta mana-mana saksi agar menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Hanif Ghazali di talian 013-8211978 bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ahmad Adnan menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memandu mengikut peraturan serta undang-undang, terutama ketika hujan dan permukaan jalan yang basah serta bentuk jalan berliku.