BALIK PULAU: Seorang pembantu jurujual kedai emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang individu membabitkan pakej umrah persendirian bernilai RM35,736, tahun lepas.
Syed Syafiq Syed Azhar, 38, didakwa memperdayakan mangsa dengan membuat representasi palsu bahawa dia boleh menyediakan dan menguruskan pakej itu meliputi penerbangan pergi balik serta penginapan di Makkah dan Madinah sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM35,736 melalui akaun syarikat didaftarkan atas nama tertuduh.
Kesalahan didakwa dilakukan pada Februari 2025 di Taman Tunas Muda, Sungai Ara, Bayan Lepas dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Sofi Jaafar memohon jaminan RM12,000 berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis setiap bulan.
Peguam daripada Yayasan Biro Guaman Kebangsaan Hazarul Iqram Rozahan memohon jaminan minimum atas alasan pendapatan anak guamnya yang berstatus duda ialah kira-kira RM3,000 sebulan dan mempunyai seorang anak.
Majistret Chia Huey Ting membenarkan jaminan RM7,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Nov untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.
-- BERNAMA