KUALA LUMPUR: Selepas melalui hubungan yang agak dingin lantaran kontroversi yang melanda keluarga diraja British, dan tidak bersua berbulan-bulan lamanya, Putera William dan adiknya Putera Harry bakal bertemu kembali sewaktu pengebumian datuk mereka, Putera Phillip yang meninggal dunia pada Jumaat.

Portal Daily Mail melaporkan, kedua-dua mereka akan berjalan beriringan sewaktu Perarakan Diraja, mengiringi jasad Duke of Edinburgh itu di Istana Windsor, pada 17 April ini.

BACA: Pemergian Putera Philip: Rakyat Britain berkabung

Ia merupakan pertemuan pertama mereka sejak Harry dan isterinya Meghan Markle membuat penampilan kontroversi dalam ruang bicara kelolaan Oprah Winfrey – yang mana Duke of Sussex itu mendakwa abangnya itu ‘terperangkap’ dalam Institusi Diraja.

Bagaimanapun Meghan, tidak dapat bersama-sama dengan suaminya kerana terpaksa tinggal di California ekoran sedang sarat mengandung.

Pemerhati menjangkakan kehadiran Harry merupakan peluang terbaiknya untuk memulihkan semula hubungan yang dingin dengan abangnya itu serta ahli kerabat yang lain.

Sumber memberitahu Daily Mail, walaupun keadaan agak tegang berikutan wawancara Oprah pada 7 Mac lepas, kerabat diraja British, kesemua mereka akan tetap bersama-sama berkabung ekoran pemergian Phillip.

Mengikut tatacara Operation Forth Bridge, Jasad Phillip akan dibawa ke Gereja St George di Istana Windsor menaiki kenderaan Land Rover yang direka mendiang sendiri, dengan diiringi anggota dari Royal Marines, Regiments, Corps, dan Air Stations.

BACA: Istiadat pemakaman Putera Philip pada 17 April

BACA: Ini maksud 'Operation Forth Bridge' susulan kemangkatan Putera Philip

Sumber dari Istana berharap agar pertemuan kedua-dua anak kepada Putera Charles dan mendiang Puteri Diana itu membawa ke arah pendamaian dan meredakan hubungan tegang dalam keluarga kerabat diraja British.