MELAKA: Seorang pengarah syarikat tanaman dan sewa ladang kelapa sawit yang beroperasi di Paya Mengkuang, di sini, kerugian RM1.03 juta selepas terpedaya dengan tawaran tender pajak ladang kelapa sawit tidak wujud.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata mangsa berusia 69 tahun itu ditawarkan tender pajak ladang kelapa sawit berkeluasan 607.04 hektar di Ipoh, Perak dan 485.63 hektar di Melaka oleh seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai 'Neliar' menerusi panggilan telefon pada Jun lepas.

Beliau berkata warga emas itu dimaklumkan oleh suspek bahawa tawaran tender tersebut dibuka pada 17 Julai sebelum ditutup pada 31 Okt lepas, dengan perbincangan telah dilakukan antara mangsa dan suspek sebelum mangsa bersetuju menyertai tawaran tender berkenaan.

"Mangsa kemudian diminta mendepositkan wang berjumlah RM15,000 sebagai tanda persetujuan dan dijanjikan akan menerima sijil menang tender tersebut. Sepanjang urusan tawaran tender yang dijanjikan, suspek tidak menunjukkan sebarang dokumen berkaitan tender itu kepada mangsa.

"Dalam tempoh berkenaan juga, mangsa membuat 45 transaksi bayaran secara berperingkat ke enam akaun bank berbeza melibatkan jumlah keseluruhan RM1.03 juta sebelum dimaklumkan dia berjaya masuk dan memenangi tender, namun sehingga kini tidak menerima sebarang dokumen atau sijil menang tender yang dijanjikan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata mangsa yang kemudian menyedari diperdaya suspek membuat laporan di Balai Polis Alor Gajah pada 19 Jan lepas dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 kerana menipu.

Menurutnya susulan laporan yang dibuat mangsa, suspek berusia 39 tahun yang merupakan pemandu lori dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau, ditahan di Kapar, Selangor, pada 9 Feb lepas dan akan didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Gajah, esok.

Zainol berkata siasatan awal mendapati pemindahan 45 transaksi yang dilakukan mangsa melibatkan enam akaun bank iaitu dua akaun syarikat milik rakan suspek, tiga akaun milik individu yang juga kenalan suspek serta satu akaun syarikat milik suspek.

--BERNAMA