MINGGU ini sememangnya antara minggu yang penuh warna-warni dalam kalendar 2016.

Malah tidak keterlaluan jika dikatakan bagi sesetengah golongan masyarakat, minggu ini adalah minggu yang sukar, khususnya bagi mereka yang menyokong dan mengharapkan Hillary Clinton bergelar Presiden Amerika Syarikat.

Menambahkan warna-warni itu, apabila laman sosial paling popular, Facebook tiba-tiba sahaja 'mematikan' pengguna-penggunanya.

Apa yang terjadi adalah Facebook pada Jumaat, mengeluarkan notifikasi bahawa penggunanya telah meninggal dunia, walaupun mereka masih hidup.

Mesej memperingati si mati itu diletakkan di bahagian atas, berbunyi "Kami berharap kesedihan anda yang menyayangi (nama) akan terubat dengan perkongsian peringatan dan kehidupannya yang indah".

Pengguna Facebook kemudiannya 'mengadu' hal itu di Twitter, sehinggakan kata kunci #FacebookDead mula trending.










Ramai yang tidak faham bagaimana hal sedemikian boleh terjadi, namun ada sebahagian yang menganggap ia sangat melucukan.

Facebook bagaimanapun dilaporkan telah mengeluarkan permohonan maaf dan menyifatkan ia satu kesilapan yang tidak patut berlaku.