Kerajaan negeri Perak pada Selasa meluluskan peruntukan sebanyak RM500,000 kepada Felda Zon Trolak, Sungkai, di sini, bagi menjalankan kerja-kerja pencegahan pembasmian ulat pemakan daun sawit yang dihadapi tanah rancangan itu.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal berkata permohonan bagi peruntukan itu dikemukakan Ketua Peneroka Felda Kebangsaan, Sulong Jamil Mohamed Shariff menerusi surat kepada beliau sendiri.

"Pada tahun lepas, sebanyak RM300,000 juga telah diperuntukkan kepada Felda Gugusan Besout, di sini, bagi tujuan yang sama dan pada tahun ini RM500,000 untuk Felda Zon Trolak," katanya ketika berucap sempena sambutan Hari Peneroka Felda 2020 Peringkat Kebangsaan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Felda, Kampus Tun Abdul Razak di Trolak, Sungkai, di sini, semalam.

Sambutan yang bertemakan 'Peneroka Perintis, Berani dan Suka Cabaran' itu dirasmikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Arthur Joseph Kurup; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, Pengerusi Felda Datuk Seri Idris Jusoh dan Sulong Jamil.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Faizal berkata kerajaan negeri Perak telah menyelesaikan pemberian hak milik tanah kepada 5,776 daripada 5,917 peneroka Felda di seluruh negeri ini manakala baki 141 lagi peneroka dijangka diselesaikan tahun ini.

"Tiga bulan selepas menjawat jawatan Menteri Besar, saya turun ke Felda Nenering di Gerik untuk sampaikan geran hak milik tanah kepada 140 peneroka. Pada Disember 2018, saya telah turun ke Felda Zon Trolak iaitu di Felda Sungai Behrang untuk sampaikan sendiri hak milik tanah kepada baki peneroka yang masih menunggu geran masing-masing," katanya.

BACA: Felda mampu jadi peneraju industri makanan berskala besar

BACA: Longgar syarat pinjaman bantu generasi baharu Felda miliki rumah - PM

BACA: Kajian pasukan petugas khas tambah baik kertas putih Felda - Idris Jusoh

Mengenai sambutan kali ini, Ahmad Faizal berkata Perak bertuah kerana dipilih sebagai negeri pertama menerima kunjungan sulung Muhyiddin selepas dilantik Perdana Menteri kelapan pada 29 Feb lepas.

Beliau yang menyifatkan Muhyiddin sebagai bukan sembarangan pemimpin dan diamanahkan jawatan Perdana Menteri ketika negara sedang berperang dengan pandemik COVID-19.

"Empat bulan lalu, kita semua merasa amat resah gelisah, saya sebagai Menteri Besar pun merasa risau tak pernah dalam sejarah ada wabak yang berjangkit sebegitu cepat.

"Tetapi Perdana Menteri kita kekal tenang. Syukur, kita ditakdirkan seorang pemimpin yang tak banyak berpolitik tetapi begitu fokus kepada usaha menyelamatkan negara dan rakyat," katanya.

-- BERNAMA