KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengarahkan semua Ketua Jabatan dan pegawai Kerajaan Negeri untuk mempermudahkan pembangunan atau projek kerajaan terutama yang sudah diluluskan dan diberikan peruntukan.

Menurutnya perkara itu amat penting bagi memberi kemudahan pembangunan yang sepatutnya kepada rakyat di negeri ini.

“Sebagai Ketua Menteri kepada kerajaan baharu ini, saya mahu pelaksanaan projek kerajaan mesti dipercepatkan.

“Jika ada masalah cari penyelesaian, contohnya dalam taklimat tadi ada masalah berkaitan jalan raya (pembinaan) kerana tidak diberikan kebenaran oleh jabatan tertentu.

“Sepatutnya sebagai ketua (jabatan), kita boleh menggunakan budi bicara atau kebijaksanaan bagi menangani masalah seperti ini. Jika tidak, pembangunan itu akan lambat disebabkan kekangan yang boleh ditangani dan akan merugikan rakyat yang benar-benar memerlukannya,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Jelasnya lagi beliau mahu masalah yang menghalang kerajaan untuk membawa kemajuan atau pembangunan kepada rakyat dapat ditangani.

“Jangan jadikan pandemik ini (COVID-19) untuk tidak bergerak langsung. Disebabkan itu, apabila Sabah dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sekarang ini, saya mengambil peluang ini untuk melawat ke daerah bagi mengetahui apa masalah pembangunan di seluruh daerah di negeri ini,” katanya lagi.