Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) yang sepatutnya berakhir 6.00 petang esok dilanjutkan sehingga 19 Julai ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata susulan pelanjutan itu, penduduk di kawasan berkenaan diminta berada di dalam rumah dan tidak dibenarkan memasuki kawasan perairan itu antara pukul 6.00 petang hingga 6.00 pagi sepanjang tempoh berkenaan.

"Orang lain tidak dibenarkan memasuki atau berada di kawasan yang telah diisytiharkan antara 6.00 petang hingga 6.00 pagi pada tarikh yang dinyatakan," menurutnya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata perintah berkurung itu meliputi kawasan perairan daerah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

Tambahnya, perintah berkurung itu dilanjutkan bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh oleh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan dan pelancong di pulau-pulau peranginan.

Zaini berkata berdasarkan maklumat, kumpulan militan Abu Sayyaf dan mereka yang menjalankan kegiatan menculik untuk mendapatkan wang tebusan dari selatan Filipina masih cuba menceroboh bagi melakukan penculikan serta jenayah rentas sempadan.

Beliau berkata perintah itu juga adalah bagi memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot selain menimbulkan rasa selamat dan yakin kepada pengusaha chalet serta nelayan dengan kehadiran kapal anggota keselamatan di sekitar kawasan mereka.

"Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di ESSZone mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak bagi aktiviti perikanan atau ada keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung," katanya.

-- BERNAMA