GEORGE TOWN: Perselisihan faham lama dipercayai punca seorang wanita menyimbah seorang lelaki orang kurang upaya (sindrom down) dengan air panas dalam kejadian di dalam sebuah lif di Jalan Rajawali - Park, Bayan Lepas, Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rejal Jenal berkata, siasatan mendapati suspek yang juga pembantu jualan berusia 39 tahun dan mangsa yang berusia 33 tahun, tinggal di flat yang sama namun tidak mengenali antara satu sama lain secara dekat.

Beliau berkata, ketika ini pihak polis sedang melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan dan pertuduhan akan dilakukan selepas semua siasatan kes berkenaan selesai.

Kamarul Rizal berkata, setakat ini, polis sudah mengambil beberapa keterangan daripada tiga orang saksi bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.

"Siasatan awal polis mendapati punca (kejadian) adalah disebabkan perselisihan faham terhadap mangsa yang telah berlaku sekitar tiga ke empat tahun lepas. Saya rasa (suspek) kenal muka sebab tinggal di flat sama.

"Pihak polis akan majukan untuk kita dapatkan rawatan lanjut terhadap suspek jika suspek mempunyai masalah mental di hospital," katanya.

Kamarul Rizal berkata demikian ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri ( IPK) di sini pada Isnin.

Tambah beliau, wanita berkenaan kini direman selama empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Kamarul Rizal menjelaskan mengikut laporan daripada pihak hospital, mangsa disimbah dengan air panas dan bukannya asid sebagaimana yang diviralkan sebelum ini.

Pada Jumaat, seorang lelaki OKU 'sindrom down' melecur depan dan belakang badan akibat disimbah jirannya dalam kejadian jam 9.20 pagi.

Mangsa kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Kejadian itu turut tular di media sosial menerusi rakaman video menerusi kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 20 saat.