PASIR MAS: Batalion ke-7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) berjaya merampas barang seludup bernilai RM889,915 dalam permeriksaan sekitar kira-kira 41.8 kilometer di sempadan negara dari Rantau Panjang, Pasir Mas hingga Pengkalan Kubor, Tumpat, sejak empat hari lepas.

Pegawai Pemerintah Batalion ke-7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) Supt Azhari Nusi berkata, limpahan air Sungai Golok berikutan hujan lebat sejak beberapa hari lepas didapati memudahkan penyeludup untuk melakukan kegiatan haram mereka.

Beliau berkata air sungai yang melimpah tebing menyebabkan perahu digunakan penyeludup dapat sampai ke jalan raya sekali gus memudahkan mereka untuk memunggah barangan terlarang.

"Dari jalan raya, mereka akan guna kenderaan untuk menempatkan barangan seludup ke tempat-tempat transit sebelum barangan tersebut diedarkan ke tempat lain pula. Bagaimanapun modus operandi ini berjaya dikesan PGA7 yang berjaya membanteras kegiatan itu menerusi 17 rampasan dalam tempoh empat hari berkenaan," kepada pemberita selepas meninjau pos kawalan PGA di Rantau Panjang yang ditenggelami air di sini hari ini.

Sementara itu Azhari berkata empat daripada 17 pos kawalan agensi keselamatan itu iaitu Pos Ibrahim Pencen, Pos Pak Teh Kana, Pos Kaloi dan Pos Serongga, yang terletak di tebing Sungai Golok, ditenggelami air lebih 2 meter sejak beberapa hari lepas.

"Ketika ini 31 pegawai dan anggota yang bertugas di empat pos berkenaan telah dipindahkan ke tempat selamat namun penugasan mereka masih diteruskan. Walaupun berdepan cabaran bencana banjir, namun 400 pegawai dan anggota PGA7 yang mula ditugaskan sejak 16 Dis lalu kekal tabah dan cekal untuk melaksanakan tanggungjawab mereka," katanya.

-- BERNAMA