KOTA BHARU: Kumpulan penyeludup terpaksa berputih mata selepas cecair vape bernilai RM550,000 yang disembunyikan di dalam semak dirampas sepasukan anggota risik Batalion Ke-9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) semalam.

Pegawai Pemerintah PGA9 Supt Nor Azizan Yusof berkata kesemua cecair vape itu yang dipercayai akan diseludup ke Thailand, dijumpai berdekatan Kampung Degong, Pasir Mas, kira-kira 12.30 tengah malam Ahad.

Beliau berkata serbuan dilakukan selepas menerima maklumat daripada orang awam mengenai kegiatan penyeludupan vape di kampung berkenaan.

"Sebaik menerima maklumat sepasukan anggota risik PGA9 telah menjalankan pemeriksaan di kampung itu dan menemui sebanyak 22 kotak di dalam semak.

“Pemeriksaan rapi ke atas kotak-kotak itu mendapati terdapat 5,500 botol cecair vape bertulis Funta Grape E-Juice yang setiap satunya berisi 50 mililiter (ml) cecair," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nor Azizan berkata bagaimanapun, usaha mengesan pemilik barangan terbabit di sekitar kampung gagal dan kesemua kotak yang ditemui dibawa ke Komtak Taman Bakti Rantau Panjang bagi pemeriksaan lanjut.

"Susulan rampasan itu, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Lubok Setol manakala barangan rampasan akan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 13(a) Akta Racun 1952," katanya.

-- BERNAMA