KUALA LUMPUR: Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) sedang menantikan pengumuman Standard Malaysia - Keperluan Pembaikan Selepas Pasaran untuk Kenderaan Kemalangan (MS) menjelang suku pertama tahun ini.

PIAM dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, MS dijangka akan mewujudkan piawaian baharu bagi pembaikan yang selamat dan betul untuk kenderaan yang terlibat dengan kemalangan.

"Inisiatif ini adalah hasil daripada usaha kerjasama pihak berkepentingan utama dalam ekosistem pembaikan kemalangan seperti Kementerian Pengangkutan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), PUSPAKOM Sdn Bhd, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Gabungan Persatuan Pemilik Bengkel Automobil, Persatuan Automotif Malaysia, PIAM, Persatuan Takaful Malaysia serta pembaikan (termasuk pembaikan francais kenderaan)," katanya.

Bahagian Kejuruteraan Automotif JPJ pada masa yang sama sedang menyemak semula garis panduan pembaikan kenderaan kemalangan bagi memastikan penggunaan kaedah pembaikan yang berkualiti dan selamat untuk kenderaan bermotor yang terlibat dalam kemalangan adalah mematuhi Akta Pengangkutan Jalan 1987.

PIAM juga berkata bahawa kemajuan terkini dalam teknologi automobil serta teknik pembaikan telah diambil kira semasa membangunkan piawaian ini, ia tertumpu pada bidang pembaikan khusus termasuk tetapi tidak terhad kepada kekusutan/bengkok, penjajaran casis dan roda dan kakisan pada badan.

"Garis panduan ini akan menjadi mandatori untuk pembaikan semua kenderaan persendirian apabila dilaksanakan," katanya.

PIAM juga sedang memantau dengan teliti perkara tersebut serta perkembangan pengawalseliaan penting yang lain selain akan mengkaji implikasinya terhadap ekosistem pembaikan kenderaan kemalangan dan masa depannya. - BERNAMA