Kerajaan Pulau Pinang menjangkakan tempoh pemulihan sektor ekonomi negeri itu memerlukan masa sebelum ia memberi kesan kepada pasaran susulan penularan COVID-19 di seluruh dunia.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata satu tempoh masa diperlukan dan sehingga itu terpulang kepada perniagaan dan pelanggan untuk menyesuaikan diri dengan norma baharu bagi memastikan ekonomi terus berkembang.

Jelasnya, semua ahli perniagaan dan pekedai perlu mengambil kesempatan ini untuk melihat cara-cara dan kaedah untuk memastikan perniagaan mereka mampan dan berdaya tahan dalam mengharungi cabaran yang dihadapi kini.

"Saya jangka, perlu satu tempoh masa sebelum pemulihan... dan akan melihat kesan pasaran. Kita berharap sementara tidak menjejaskan usaha melawan wabak COVID-19, kita tak ingin lihat kenaikan kes setelah pembukaan ekonomi yang menggalakkan interaksi manusia dengan lebih banyak berbanding tempoh sebelum ini.



"Maka, saya menyeru semua rakyat supaya masih sabar, mengamalkan penjarakan sosial dan pembersihan diri. Komuniti peniaga dan sektor ekonomi dalam tempoh ini amat mencabar dan kita berharap ekonomi dapat rebounce dengan cepat supaya impak ekonomi dan kos dapat dipertahankan.

"Kita akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa. Kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan akan menimbang pembukaan sektor dan aktviti yang lain, sesuai dengan apa yg diputuskan di peringkat persekutuan atau negeri," ujar Kon Yeow.


Beliau berkata, hari ini adalah hari pertama pembukaan pelbagai sektor ekonomi Pulau Pinang di bawah Strategi Pemulihan Berperingkat Pulau Pinang, sehingga 13 Mei.

Katanya, ini merupakan masa untuk semua perniagaan menerokai perniagaan baharu supaya dapat menangani keadaan ekonomi yang tidak menentu ini,

Walau bagaimanapun, Kon Yeow berharap pembukaan ekonomi ini tidak menjejaskan usaha negara untuk melawan COVID-19.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan ke pasar raya Gurney Paragon di George Town pada Jumaat.