KUALA LUMPUR:Prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Selangor terpakai bagi mukim Klang.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia sekali gus bermakna SOP PKPB di mukim Klang yang diumumkan pada minggu lalu adalah terbatal.

“Kerajaan sebelum ini telah mengumumkan PKPB di seluruh negeri Selangor bermula hari ini, 14 Oktober 2020.

“Ingin dijelaskan bahawa, dengan pengumuman ini maka SOP PKPB di mukim Klang yang diumumkan lebih awal adalah terbatal.

“Oleh itu, SOP PKPB seluruh Selangor adalah terpakai juga bagi mukim Klang,” katanya pada sidang media secara maya pada Rabu.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihak berkuasa agama sama ada di peringkat Persekutuan ataupun negeri akan mengumumkan ketetapan mengenai solat berjemaah dan Jumaat dalam masa terdekat.

Dalam perkembangan berhubung operasi pematuhan PKPP, beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 284 individu pada Selasa atas kesalahan ingkar arahan PKPP.

“Daripada jumlah itu, seramai 278 individu dikompaun, enam lagi direman,” katanya.

BACA: COVID-19: Data dan informasi setakat ini (Dikemas kini setiap hari)


Beliau berkata antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk tidak memakai pelitup muka (134), gagal menjaga penjarakan fizikal (68), gagal menyediakan peralatan/rekod butiran diri (33), langar syarat/perintah PKPB (20), premis beroperasi lebih masa (16), aktiviti di pusat hiburan (8), enggan menjalani ujian saringan COVID-19 (tiga), membawa penumpang lebih daripada yang dibenarkan (satu) dan lari daripada sekatan jalan raya (satu).

Menerusi Operasi Benteng yang dijalankan pula, beliau berkata 37 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan
Katanya lagi, dua kenderaan darat juga berjaya dirampas.