KUALA LUMPUR: Lima lokaliti di Mukim Hulu Besut, Terengganu yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilanjutkan bermula 28 April sehingga 4 Mei depan.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ia melibatkan Kampung Belaoh, Kampung PPRT Belaoh Baru, Kampung Keruak, Kampung Pak Sik dan FELCRA Keruak, Mukim Hulu Besut.

"Setakat ini, sebanyak 107 kes positif COVID-19 telah direkodkan melibatkan kesemua lokaliti tersebut hasil 2,077 ujian saringan yang telah dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"KKM melaporkan masih berlaku penularan berterusan dalam kalangan penduduk di kawasan PKPD dengan 22 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat serta terdapat 160 sampel yang sedang menunggu keputusan," katanya dalam kenyataan media pada Ahad.

Dalam perkembangan sama, kerajaan jelas Ismail Sabri turut bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Dambai Inanam di Kota Kinabalu, Sabah bermula esok.

Ujarnya, ia selepas penilaian risiko Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati terdapat peningkatan kes positif COVID-19 dicatatkan di lokaliti itu.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melaporkan peningkatan kes COVID-19 secara mendadak di Kampung Dambai Inanam, Kota Kinabalu, Sabah.

"Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 74 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak enam (6) kes positif COVID-19 telah direkodkan dalam tempoh satu minggu," katanya lagi.

Justeru pelaksanaan PKPD itu jelas Ismail, membolehkan pihak KKM melakukan pengesanan kontak serta menjalankan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk yang terlibat.