KUALA LUMPUR: Polis selesai mengambil keterangan daripada 16 individu berhubung dakwaan murid dikasari ketika menghadiri kem motivasi di Serdang, Selangor, bulan lepas.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP A.A Anbalagan berkata 16 individu itu melibatkan 10 murid, tiga wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dipercayai menganjurkan kem itu serta tiga wakil pihak sekolah.

Beliau berkata kertas siasatan berhubung kes itu diserahkan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya pada Selasa lepas untuk tindakan lanjut.

"Setakat ini tiada sebarang tangkapan dilakukan dan siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Pusat Jagaan Rumah Juara di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan polis menerima empat laporan daripada ibu bapa murid mendakwa anak mereka dikasari penganjur kem tersebut dan disyaki melakukan tindakan fizikal kepada murid seperti disembur dengan air di tengah padang sekolah dengan hanya berseluar dalam, selain dihukum melakukan ketuk ketampi hanya kerana berbual.

Sebuah portal berita pula melaporkan kira-kira 60 murid Tahun Lima yang menghadiri kem dua hari dikendalikan sebuah NGO itu, pulang ke rumah dalam keadaan lemah dan menangis selepas menyertai kem motivasi tersebut.

Peserta kem itu turut mendakwa fasilitator berkenaan turut melakukan kekasaran dengan mencekik dan menolak ke dinding serta dipukul dengan penyapu.

-- BERNAMA